Tuhan Itu Tidak Adil ?
Lena sungguh anak kecil itu tidur didalam dakapan ibunya. Rambutnya yang sedikit perang itu diusap manja oleh ibunya. Sesekali kelihatan anak kecil itu merengek-rengek. Minta untuk didodoikan agaknya. Suhu hari ini sudah kurang sejuk. Kalau nak dibandingkan cuaca sewaktu aku tiba seminggu lepas dengan sekarang, agak banyak bezanya. Ini bermakna musim sejuk hampir melabuhkan tirainya. Ini juga bermakna musim bunga bakal menjelma! Tidak sabar rasanya untuk menikmati keindahan bunga Cherry Blossom di negara ' Goryeo ' ini. Saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh sesiapa saja terutamanya pelancong asing seperti aku. " This stop is Itaewon Station, Itaewon Station ." 'Pramugari' subway membuat pengumuman kereta api ( subway ) telah sampai di stesen Itaewon. " Huh ..," aku mengeluh dalam. Badan terasa sangat letih. Kaki pula sangat lenguh. Tidak larat lagi untuk berjalan kaki. Mahu saja aku merangkak pulang ke rumah tamu. Hari ini seharian sun...

