Tuhan Itu Tidak Adil ?
Lena sungguh anak kecil itu tidur didalam dakapan ibunya. Rambutnya yang sedikit perang itu diusap manja oleh ibunya. Sesekali kelihatan anak kecil itu merengek-rengek. Minta untuk didodoikan agaknya. Suhu hari ini sudah kurang sejuk. Kalau nak dibandingkan cuaca sewaktu aku tiba seminggu lepas dengan sekarang, agak banyak bezanya. Ini bermakna musim sejuk hampir melabuhkan tirainya. Ini juga bermakna musim bunga bakal menjelma! Tidak sabar rasanya untuk menikmati keindahan bunga Cherry Blossom di negara 'Goryeo' ini. Saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh sesiapa saja terutamanya pelancong asing seperti aku.
"This stop is Itaewon Station, Itaewon Station." 'Pramugari' subway membuat pengumuman kereta api (subway) telah sampai di stesen Itaewon.
"Huh..," aku mengeluh dalam.
Badan terasa sangat letih. Kaki pula sangat lenguh. Tidak larat lagi untuk berjalan kaki. Mahu saja aku merangkak pulang ke rumah tamu. Hari ini seharian suntuk aku berjalan-jalan. Sungguh puas rasanya. Kalau nak ikutkan hati, nak saja aku berjalan-jalan lagi. Tapi badan yang kepenatan dan kehabisan bekal yang dibawa dari rumah membuatkan aku terpaksa batalkan hajat aku itu.
"Kenapalah rumah ini terletak di atas bukit, dah nak patah kaki aku berjalan hari ini. Suhu pula sejuk gila ni," aku mengomel. Terlihat kepulan asap keluar dari mulut. Proses kondensasi. Itulah yang diwar-warkan dalam buku rujukan sains SPM.
Jam menunjukkan pukul 9.30 malam (waktu Malaysia). Aku berjalan melintasi Hamilton Hotel. Kelihatan pusat hiburan, bar dan pub begitu meriah sekali. Promoter-promoter begitu bersungguh-sungguh menarik pelanggan supaya masuk ke tempat mereka. Flyers bertaburan dilantai. Pelbagai tawaran diberikan kepada pelanggan yang masuk ke tempat mereka.
"No no..," kata aku lembut sambil menggelengkan kepala kepada gadis seksi itu. Dia tersenyum sambil memberikan jelingan manja. Aduh hampir saja aku tergoda.
"Astaghfirullah astaghfirullah..." aku kuatkan semangat.
Kelihatan beberapa orang muda yang sedang mabuk berjalan dihadapan aku. Terhuyung-hayang. Sesekali kawannya menahannya dari terjatuh. Begitulah keadaan malamnya di Seoul. Pub dan bar sentiasa dipenuhi oleh pengunjung terutamanya pada hujung minggu.
Aku merebahkan badan ke katil. Handphone HTC yang berada diatas meja aku ambil untuk melihat gambar-gambar yang ditangkap siang tadi. Gwanghwamun, Insadong dan Hongdae adalah antara tempat yang aku lawati hari ini. Aku tersenyum lebar melihat posing yang dibuat ketika bergambar. Galak fikiranku terhenti sejenak apabila melihat gambar yang terakhir. Senyuman aku tadi mulai pudar. Hati aku tiba-tiba menjadi sayu melihat gambar anak kecil yang sedang didukung ibunya. Gambar itu aku snap sewaktu ibunya sedang mengusap kepalanya. Kelihatan disitu ibunya memakai rantai berwarna silver yang berlambang salib.
"Kristian," fikir aku.
Malam itu agak sukar untuk lelap walau aku cuba untuk pejamkan mata berkali-kali.
"Apakah apabila besar nanti dia nanti akan menjadi seorang Kristian seperti ibunya? Seperti mana seorang Melayu apabila besar dia menjadi seorang Islam hanya kerana dia membesar dalam keluarga Melayu Islam?" aku tertanya-tanya.
Persoalan yang tiada jawapan mutlak. Akhirya aku tertidur dengan persoalan yang tidak terjawab itu.
6.50 pagi. Aku tersedar dari tidur. Hampir-hampir saja aku terlepas subuh hari itu. Memang susah untuk selaraskan jam biologi (biological clock) dalam diri aku dengan waktu di Korea. Waktunya yang sejam lebih cepat daripada waktu Malaysia kadang-kadang membuatkan aku terkeliru. Pada musim sejuk pula, subuhnya lebih awal dari biasa. Jam 4.30 pagi (3.30 pagi waktu Malaysia) sudah masuk waktu subuh. Kiranya, kalau bangun jam 6.50 pagi sudah dikira bukan setakat subuh gajah, bahkan dinasour barangkali.
Hari ini aku bercadang untuk ke Namsan Tower dan Apgujeong serta beberapa tempat lagi sekiranya sempat.
"Excuse me, may I know how to go to Rodeo Street?" aku bertanya kepada seorang pakcik tua yang kebetulan berjalan disebelah aku. Aku mengagak umur pakcik itu sudah mencecah 60-an.
"Rodeo street.. come this way.. this way..." balas pakcik itu.
Aku sedikit tergamam. Dalam hati aku bertanya," Pakcik ni nak bawa aku pergi ke sana ke?".
"Uncle, no need to bring us there. Just give us direction, insy... (nak sebut Insya Allah, tapi aku lupakan).. we'll find it ourselves," kataku dengan tempo yang agak perlahan kerana risau dia tidak faham apa yang aku cakapkan.
"It's ok.. i'll bring you there." Pakcik itu tersenyum lebar. Matanya jelas menunjukkan bahawasanya suatu kepuasan dan kegembiraan sekiranya dia dapat membawa aku ke sana.
Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan [ah, pepatah apa ini].
Aku berjalan mengikuti pakcik itu dari belakang. Baru saja berjalan dua tiga langkah tiba-tiba dia berhenti.
"Dah kenapa pakcik ni." Aku kepelikan.
"Come.. ." Dia menarik tangan aku. Aku sedikit bingung. Rupa-rupanya dia nak aku berjalan ditepinya.
"Where are you from?" dia memulakan bicara. Mesra.
"I'm from Malaysia," jawab aku ringkas.
Aku tidak menyangka pakcik ini boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Jarang aku bertemu orang Korea yang boleh berbahasa Inggeris. Teringat semasa aku baru tiba di bandar Itaewon. Aku cuba bertanya kepada beberapa penduduk tempatan dimana letaknya rumah tumpangan aku. Tapi sebelum aku habiskan ayat, sudah dijawabnya "No no no...". Ada sesetengah pula yang terus memberi isyarat tangan supaya tidak bertanya kepada dia. Sesetangah pula ada yang menjawab dalam bahasa Korea. Pening dibuatnya.
"What's your name, uncle?"
"You can call me Kim." Dia tersenyum.
"Oh, Kim-ssi, right?". Aku tersengih.
Dia mengangguk-angguk kepalanya.
"Do you know that Korean says Annyeonghaseyo when they wanna hello people."
Aku hanya menggangguk.
Kemudian dia menyambung,"In India, they say Namaste. French says Bonjour. Japanese says Konichiwa. Chinese says Ni Hao. In Malaysia, how you say it?".
Aku mula menggaru kepala.
"Macamana la aku nak beritahu pakcik ni." Aku terdiam.
"Kim-ssi, we Malaysians say Assalamu'alaikum to greet people." Jawab aku bertajwid.
"Pardon.." balas Pakcik Kim. Dahinya berkerut.
"Aku dah agak dah, mesti dia tak boleh nak ikut punya," jawab aku dalam hati.
"AS-SA-LA-MU-A-LAI-KUM," aku mengulangi sekali lagi dengan perlahan-lahan dengan harapan dia dapat mengikutinya.
"Asla.... what what?" dia cuba untuk menyebutnya.
"Hahaha...," aku tergelak. "I'm sorry," sambung aku lagi.
"It's ok Uncle. We also can replace it with 'Hi'," aku cuba memberikan alternatif lain.
Kelihatan dia menganggukkan kepala.
"This way." Dia membelok ke kanan.
Apgujeong [Apgujeong-dong] merupakan bandar yang agak mewah. Ia merupakan satu kawasann yang terletak di bandar Gangnam [Gangnam-gu]. Kalau di Malaysia, kita katakan ianya seperti pekan, sebagaimana Pekan Kajang dan Bangi. Kebanyakan kedai-kedai disitu menjual barangan mewah dan berjenama. Seperti di Myeong-dong. Tidak seperti Namdaemun dan Dongdaemun yang keadaannya seperti Jalan Tar dan Masjid India.
Pakcik Kim sangat banyak berkongsi ilmu semasa kami berjalan kaki ke Rodeo Street. Jaraknya tidaklah jauh dengan stesen subway Apgujeong. Tapi keramahan yang ditunjukkan oleh Pakcik Kim sangat menjadikan perjalanan itu sungguh bermakna.
"Now we have arrived at Rodeo Street," dia memberitahuku.
"Oh. Thanks Kim-ssi for your help. I'm really appreciated it. Kamsahamnida," aku mengucapkan terima kasih atas pertolongannya itu.
Sebelum dia pulang ke rumahnya, kami semapat bergambar bersama. Aku berdiri disisinya.
"Wait, once again," dia meminta untuk diambil gambar sekali lagi.
Kali ini dia memegang erat tangan aku. Seperti seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Kehangatan tangannya menyelubungi jiwa aku. Aku senyum. Kami saling melambai antara satu sama lain. Dia berjalan pergi dan aku terus berjalan melewati Rodeo Street mencari apa-apa yang menarik.
Sekali lagi aku tertanya-tanya. Apakah meninggalnya manusia sebaik Pakcik Kim itu nanti dalam keadaan dia tidak beriman kepada Allah?
Apakah anak kecil yang aku snap gambarnya sewaktu didukung ibunya itu suatu hari nanti akan membesar tanpa mengenal Tuhannya?
Teka-teki ini bermain difikiran aku. Seolah-olahnya Tuhan itu tidak adil.
Kenapa diciptakan non-muslim? Tidak bolehkah Tuhan menjadikan manusia ini semuanya sama? Seorang non-muslim walaupun dia baik, tapi penghujung kisah hidupnya nanti akan tetap ke neraka juga. Muslim pula walaupun dia jahat, penghujung ceritanya berbeza. Dia tetap akan ke syurga. Mengapa begini?
Ah, aku pening. Tidak mampu untuk aku fikirkan perkara ini. Biarkan saja persoalan ini terus menjadi persoalan.
Bersambung...
Comments
Post a Comment