Pengalaman Backpack Di Xian : Interaksi - Bukan Benda Main-Main
Sebenarnya perkara ni dah lama bermain difikiran aku. Lama tak lama, lepas aku balik Xian tempoh hari. Tapi aku tak sempat nak tulis. Jadi aku biarkan dulu ia tersimpan kemas dalam kotak hipokampus di dalam otak aku ni. Pagi tadi, ingatan episodik aku berkenaan perkara ni kembali selepas aku mendengar radio di dalam kereta. Jadi aku ringkaskan.
Seperti yang kita sedia maklum, Xian adalah sebuah kota di China yang terkenal dengan keislamannya. Sebuah kota lama yang pernah menjadi pusat pemerintahan negara China suatu ketika dulu. Islam sampai di China sewaktu Saad Bin Abi Waqas diutuskan oleh Uthman Bin Affan untuk meluaskan dakwah Islam ke sana. Cuba kita bayangkan macamana orang di China pada waktu itu yang tidak boleh bercakap arab boleh memeluk Islam yang dibawa oleh Saad? Macamana orang China yang bertutur dalam bahasa berbeza, berbudaya dengan budaya berbeza, berpegang dengan kepercayaan berbeza akhirnya boleh memeluk Islam yang kebanyakannya menggunakan bahasa arab? Sukar bukan tugas Saad? Di tempat kita mungkin sama pada masa awal kedatangan Islam dahulu. Nenek moyang kita semua yang dulu entah bertutur bahasa apa pun ok saja bila menerima dakwah Islam.
Masjid Besar Xian |
Sepanjang aku kat Xian tempoh hari, aku banyak berkomunikasi menggunakan google translate untuk berkomunikasi dengan masyarakat sana (offline - yang telah diinstall siap-siap di Malaysia. Ok ini tips penting) . Selain tu, aku juga banyak menggunakan peta. Dengan menujukkan tempat yang aku nak tuju, atau menggunakan bahasa isyarat lagi senang sebenarnya daripada tanya direct kepada diorang. Kat sana sangat susah nak jumpa yang boleh speaking. Kadang-kadang bila geram, aku tanya je diorang dalam loghat Kelantan. Sama juga kalau tanya dalam English. Semua mereka tak faham.
Apa yang menyebabkan aku berfikir dan bermenung panjang ialah pasal komunikasi dan bahasa ni. Masa aku solat berjemaah kat masjid sana, kadang-kadang aku tak boleh nak catch up surah apa, ayat apa yang Pak Imam bacakan. Sebutannya, tajwidnya, lagunya semua lain. Seingat aku, bacaan yang aku senang tangkap hanyalah Surah Alfatihah dan 3 qul (itupun sebab ada 2-3 kali imam jadikan surah lazim masa solat). Lain-lain, susah. Berkerut dahi dibuatnya.
Aku terfikir, macamana kita nak berkomunikasi kalau kita tak faham bahasa tersebut. Kalau setakat hafal dan sebut, tapi tak tahu makna, tak kemana juga jawabnya.
Pagi tadi, masa balik dari masjid, aku buka radio IKIMfm. Biasa la bulan baik macam ni, kita kena dengar yang baik-baik. Biarpun pada bulan-bulan lain, kita berperangai seperti jembalang. Masa tu, ada seorang ustaz jemputan sedang berkongsi mengenai peristiwa Nuzul Alquran. Memandangkan esok merupakan Hari Nuzul Alquran. Suka lettew rakyot Malaysia yang mana dapat cuti tu. Dia bincangkan mengenai Surah Albaqarah, ayat 185. Ayat ni mengenai penurunan Alquran dalam bulan puasa. Ayat ni mengkhabarkan kepada kita yang Alquran ni fungsinya adalah sebagai :
i. Gudeline kepada manusia
ii. Explanation kepada guideline tersebut
iii. Perbezaan antara yang betul dan tak betul
Sebagai rakyat Malaysia yang bahasa rasminya adalah Bahasa Melayu dan bahasa kedua secara tak rasminya adalah Inggeris, aku terfikir lagi. Kita ni baca Alquran pun tak tahu maksud, macamana Alquran ni nak berfungsi sebagai 3 perkara tersebut kat kita. Benda yang kita setakat baca, hafal dan dengar tapi tak tahu maksud ni macamana kita nak jadikan ia berfungsi kepada kita. Ya betul. Selepas diekstrak dan diringkas oleh para alim ulama, ada la sedikit sebanyak ilmu yag kita dapa daripada Alquran tersebut. Sorry, bukan sedikit sebanyak, tetapi sedikit saja.
Kita saban tahun cuba menghabiskan 30 juzuk dalam bulan ramadhan. Kita juga saban bulan ada membuat majlis-majlis keraian yang ada didalamnya alunan-alunan bacaan Alquran. Kita juga saban minggu adakan majlis bacaan Yasin mahupun Alkahfi. Juga, saban hari dalam solat kita membaca Alquran. Dan juga setiap kali selepas solat kita berzikir dan berdoa menggunakan bait-bait yang diambil daripada Alquran.
Tetapi malangnya, dalam kita mengulangi perkara-perkara tersebut setiap tahun, setiap hari, kita masih lagi gagal faham maksud tulisan-tulisan didalam lembaran Alquran tersebut. Kita gagal memahami apa yang kita baca dalam solat kita. Kita gagal? Atau kita tidak pernah pun berusaha untuk faham?
Setelah 20 tahun kita bersolat, membaca - bertadarrus - bertarannum Alquran. Kita masih lagi tidam faham apa yang kita baca. Kejap, kita tidak faham apa yang kita baca? Then, kita baca apa sebenarnya? Mentera apa yang kita baca? Sekiranya dalam solat kita seolah-olah sedang berhadapan dengan Tuhan kita, Allah, apa sebenarnya yang kita sebutkan kepada Dia? Apabila kita menadah tangan, mengaminkan doa dari Imam mahupun doa sendiri, apa yang kita aminkan sebenarnya ?Macamana kita boleh berkomunikasi dengan seseorang tanpa kita faham apa yang kita tuturkan kepada dia? Alfatihah yang hari-hari kita baca pun kita tak faham. Then kita nak expect apa dari diri kita? Eloklah bulan ramadhan tahun ni kita mula belajar sikit-sikit pasal Alquran ni. Ambil tahu sikit-sikit apa yang kita baca, apa yang kita zikir, apa yang kita doa.
Alquran ni kalau kita pandang dia setakat sebuah buku, maka jadilah ia sebuah buku. Kalau kita pandang ia sebagai sebuah kitab yang hanya perlu dibaca sahaja, maka jadilah ia sebuah kita saja. Kalau kita pandang ia sebagai satu mesej dari Tuhan kepada kita, sebagai sesuatu benda yang perlu kita faham apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada kita, maka itulah yang kita dapat. Kan Nabi ada sebut, Tuhan ni ikut sangkaan kita kepadanya. Maka, bersangka baik lah !
Comments
Post a Comment