Tuhan Yang Mana? ep 1
Perbualan Boy dengan Dr. Rozi pagi itu tidak membuahkan hasil. Bahkan lebih membingungkannya. Ditanya lain, dijawabnya lain. Ternyata Dr. Rozi bukanlah orang selayaknya untuk diajak berbual mengenai perkara itu. Sudah bertahun perkara tersebut bersarang di kepala Boy. Sudah berpuluh orang ditanyanya. Namun belum ada jawapan yang memuaskan hatinya.
"Bodoh la kau Boy. Kau tahu tak Tuhan tu ada satu jer. Yang kau pergi sembah Tuhan yang banyak-banyak tu kenapa bodoh." Jembang meninggikan suara.
"Mana kau tahu Tuhan tu satu?" Soal Boy.
"Ish melawan pulak budak ni. Aku tampar jugak nanti." Kali ini Jembang betul-betul marah.
Tapi Boy tahu apa yang perlu dia buat kalau Jembang naik angin macam ni.
"Jembang, Xin Jie kirim salam kat kau." Boy tersengih. Terdengar hilai dari budak-budak lain.
Boy anak cina yang berasal dari Cheras, KL. Sebelum ini dia tidak pernah berkawan dengan anak melayu. Tapi sejak dia kena hadir ke PLKN, dia berasa suka pula untuk berkawan dengan anak melayu. Dia yang beperwatakan sedikit gila-gila dan pandai bercakap putar belit menyebabkan dia senang untuk kamcing dengan geng Jembang. Dia tak sangka pula berkawan dengan anak melayu ni best. Jembang pula memang tak sia-siakan peluang apabila Boy kelihatan ingin berkawan dengannya. Ini semua gara-gara Xin Jie. Amoi yang digila-gilakannya.
Selepas tamat PLKN, Boy merasakan seperti ada sesuatu yang membingungkannya. Masa di PLKN dulu Boy selalu bertanya dan berdebat bodoh dengan Jembang dan geng-gengnya yang lain tentang agama. Tapi maklum sajalah Jembang. Bukannya jenis kepala otak betul sangat. Jawapan mengarut je yang berinya. Paling tidak pun dimakinya si Boy tu. Tapi Boy tak pernah kisah dengan semua itu. Sebab dia berasa puas apabila dapat bertanya soalan-soalan tersebut.
Sebelum dia ke PLKN dia tak pernah kisah dengan agama semua ini. Ibu bapa dia pun tak pernah bercakap soal agama selama ini. Setahunya, ibunya seorang Kristian dan ayahnya pula seorang Buddha. Dia pula? Entah. Dia pun tak tahu dia beragama apa sebenarnya. Kalau diikutkan I.C, dia didaftarkan atas agama ayahnya, agama Buddha. Dia pun tak pernah kisah sebenarnya. Sembahyang pun dia tak pernah buat. Seingat dia, pernah la mak dia bawa dia ke gereja masa dia kecil-kecil dahulu. Tapi bila dia sudah masuk ke sekolah menengah, mak dia sudah tidak ke gereja lagi kerana sibuk menguruskan perniagaan.
Tapi di PLKN, Boy menjadi tertanya-tanya tentang agama. Mungkin salah satu faktornya ialah jadual yang diatur di sana yang mewajibkan kelas agama kepada pelatih-palatihnya. Setiap minggu akan ada program keagamaan mengikut agama masing-masing. Hari jumaat, hari untuk pelatih beragama Islam dan Hindu untuk menghadiri kelas agama di tempat masing-masing. Hari Sabtu dan Ahad pula jadual kelas agama untuk pelatih beragama Buddha dan Kristian untuk menghadiri upacara keagamaan mereka. Tapi Boy menjadi bingung. I.C nya tertulis agama Buddha, tapi dia tak tahu apa-apa mengenai agama Buddha. Yang dia tahu hanyalah perkataan 'Amitaba'. Itupun dia hanya tahu sebut tanpa mengetahui maksudnya. Sewaktu kecil ibunya ada membawanya ke gereja. Jadi dia merasakan dia lebih dekat dengan agama Kristian berbanding dengan Buddha.
Ah. Setiap kali tibanya hujung minggu Boy mesti berasa bingung. Daripada apa yang dia perhatikan, dia dapati yang ada kawan-kawannya yang lain daripada bangsa India dan Cina yang mengalami situasi yang sama sepertinya.
Dari situ dia mula menjadi cakna dengan agamanya. Jembang dengan geng-gengnya lah yang menjadi mangsa pertanyaan Boy. Bermacam-macam soalan yang ditanyanya. Namun kebanyakkan dari jawapan yang dia dapat adalah jawapan bodoh dan tidak masuk akal.
Tapi dia tak kisah sangat. Asalkan dia dapat bertanya. Itu sudah dirasakan cukup untuknya.
Setahun demi setahun berlalu. Kini dia berada di semester ke lapan pengajiannya di Lim Kok Wing Universiti, Cyberjaya. Semester terakhir.
Dia tidak boleh lengah lagi. Persoalan yang sudah lama dia pendam perlu diuraikan. Selama beberapa tahun ini, dia banyak mengkaji dan bertanya kepada kawan dan pensyarah Melayu di situ. Tapi dia tidak menemukan jawapan yang mampu menusuk jiwanya. Jawapan yang diberikan hanya bermain dilogik akal. Tidak membawanya kepada mencapai keperluan beriman. Dia masih lagi mencari erti agama. Siapa itu Tuhan yang sebenarnya? Masing-masing berhujah yang Tuhan merekalah Tuhan yang sebenarnya. Hindu dengan hujahnya. Kristian dengan hujahnya. Islam pun ada hujahnya. Begitu juga Buddha.
Sampailah di suatu masa apabila dia menghadiri kuliah Pendidikan Agama Islam di tempatnya belajar. Dia banyak bertanya kepada Dr. Rozi tentang Islam semasa di kelas. Setiap soalan yang ditanya oleh Boy akan cuba dijawab sebaiknya oleh Dr. Rozi. Tapi sayang, Dr. Rozi bukanlah seorang yang tahu akan selok belok perbandingan agama. Kelasnya lebih kepada pendedahan asas-asas Islam. Rukun Islam, rukun Islam, perkara fardhu ain dan sebagainya. Dan jawapan yang diberikan kepada persoalan Boy ternyata seperti jawapan-jawapan yang biasa Boy dengar daripada orang kebanyakan.
Petang Isnin seusai habis kuliah Economy and Society, Boy terus ke restoran mamak di Putrajaya. Perutnya sudah beberapa kali berbunyi. Pagi tadi dia hanya sempat menjamah Karipap dua biji sebelum pergi ke kelas. Hari Isnin memang hari paling padat untuknya. Sambil menikmati mee goreng mamak dengan air sirap limau, dia membelek- belek I.C nya. Tertera disitu "Kristian". Rupa-rupanya Boy telah mengistiharkan agama di I.C nya sebagai Kristian. Mungkin kerana peristiwa di PLKN dahulu.
Terasa bahunya ditepuk. "Nama U Boy kan?" Satu suara menyapanya dari belakang.
Bersambung.....
Comments
Post a Comment