Travelog Korea | Bahagian I
Bismillahirrahmanirrahim
Annyeonghaseyo | 안녕하세요
"Betul ke Chai kita kat Korea ni,
macam tak percaya je."
Siapa sangka aku akan menjejakkan kaki di
bumi Korea. Aku sendiri pun tidak percaya apa yang aku sedang lakukan ini. Tapi
itulah realitinya. Aku dan Kapchai (bukan nama sebenar) kini berada di Korea.
Daripada berempat kepada berdua. Daripada
berdua kepada bertiga. Begitulah perjalanan kami. Pada asalnya kami berempat.
Aku, Kapchai, Shiro dan Iqa. Tetapi pada saat-saat akhir, satu musibah melanda
salah seorang daripada kawan kami iaitu Iqa. Entah macamana kakinya tetiba
sakit dan terpaksa menjalani rawatan fisiologi untuk suatu jangka masa yang
agak panjang. Doktor dan keluarganya menasihatkan supaya dia batalkan saja
niatnya untuk ke Korea. Dia terpaksa akur setelah pertimbangkan tahap kesihatan
dia yang sangat tidak mengizinkan. Shiro mula berasa sedih. Semuanya telah
lengkap, hanya tunggu masa untuk terbang ke sana saja. Tiket penerbangan ke
sana telah dibeli 6 bulan awal. Hotel sudah ditempah dua minggu yang lepas.
Barang-barang keperluan telah lengkap disediakan. Namun pada saat-saat akhir, keadaan
tidak mengizinkan mereka bersama kami mengutip pengalaman di Korea. Walaupun
bertiga, tetapi ayah Shiro tetap tidak membenarkan dia mengikuti sekali perjalanan
tersebut. Ada betulnya keputusan ayahnya itu. Perempuan tidak sepatutnya
mengembara seorang diri. Perlu berteman. Maka tinggallah aku dan Kapchai
berdua.
Kami berlepas ke sana Jumaat pagi, jam
8.30 menggunakan perkhidmatan peerbangan Air Asia, "Now everyone can
fly". Bagi kami, semuanya adalah kali pertama. Kali pertama menaiki kapal
terbang dan juga kali pertama pergi ke luar negara. Aku seolah-olah tidak percaya dengan apa
yang aku lakukan. Tanpa khidmat tourist
guide, kami mengembara dengan seadanya.
Kos penerbangan pergi dan balik mencecah
seribu ringgit. Sewa rumah tamu (guest
house) Ines Inn pula RM 354 seorang untuk seminggu. Harga yang berpatutan.
Rumahnya sangat selesa. Lengkap dengan rice-cooker,
oven, peti ais, tv, internet dan dapur. Ines Inn adalah rumah yang memang
disewakan khas kepada pelancong Melayu sejak turun temurun. Pemilik rumah tamu
tersebut, Mr. Lee (juga dikenali Mr. Jay) menyerahkan rumah tersebut kepada
pelajar Melayu disana untuk menguruskan rumah tersebut (http://malaysianguesthouseinseoul.blogspot.com/2012/01/guesthouse-in-itaewon.html).
Setelah dua hari kami tinggal di sana,
ada seorang pelancong perempuan sampai dari Malaysia. Seorang diri. Faiezah
namanya. Apabila kami bersembang-sembang dengannya, ternyata dia sememangnya
merancang untuk melancong ke Korea seorang diri. Berani sungguh budak perempuan
ni. Disebabkan dia berseorangan, kami ajak dia untuk bersama kami berjalan-jalan
disekitar Seoul. Tapi dia sangat ok dan peramah. Sebab itu, mudah untuk dia
berkawan dengan kami dan bersama-sama kami berjalan-jalan di sekitar Seoul.
Banyak pengalaman yang dapat aku kutip
sepanjang seminggu di sana. Aku bukanlah seorang yang meminati Korea
sepertimana Kapchai. Kapchai memang lama berhajat untuk ke sana. Entah berapa
kali kami rancang untuk ke sana bersama dengan kawan-kawan yang lain. Tapi
asyik tidak menjadi saja. Hingga akhirnya kami mendapat tahu yang Shiro
ingin ke Korea. Apa lagi, cepat-cepatlah
kami tempah tiket untuk pergi sekali dengan mereka. Bagi aku, pergi ke Korea
adalah satu peluang untuk aku keluar dari kepompong masyarakat Malaysia dan
merasai sendiri kehidupan di negara orang yang mana lebih maju daripada
Malaysia. Mengutip sebanyak mungkin pengalaman semasa mengembara. Bukan mudah
untuk mendapat peluang sebegini. Walaupun terpaksa menghabiskan duit
beribu-ribu untuk ke sana, tetapi ianya berbaloi dengan apa yang aku dapat. Dan
aku mendapat apa yang aku inginkan dan ianya sangat memuaskan. Mengembara
sekadar berjalan-jalan melihat tempat orang bukanlah gaya aku. Sepanjang
pengembaraan di Korea, aku cuba untuk mengambil sebanyak mungkin ibrah dan pengalaman (valuable experience) untuk diadaptasikan dalam kehidupan. Bagi aku, semasa
muda inilah, kita seharusnya mencari sebanyak mungkin pengalaman hidup,
merantau ke mana saja dan membina diri kita sebaiknya untuk diaplikasikan
dimasa hadapan. Kerana masa kita masih panjang dan perjalanan kita masih jauh.
Orang-orang yang sudah tua, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berkongsi
dan praktikkan pengalaman mereka. Tapi kita yang muda ini, dengan tenaga yang
banyak, masa yang banyak, maka banyak benda kita boleh rancang dan buat untuk
membangunkan diri kita dan juga masyarakat. Hanya tinggal kita untuk bertindak
sahaja. Sebab itu aku mengambil peluang ini untuk ke sana dan mengutip
pengalaman-pengalaman berharga di sana.
Sebelum berlepas
|
Dalam flight |
Selamat tiba di lapangan terbang Icheon, Korea Selatan |
![]() |
Unload barang dalam bilik |
Tamat bahagian I
Comments
Post a Comment